Thursday, 30 August 2012

Sebiji Epal Bertukar Cinta

Assalamualaikum...

Lama Abu Salih bertakafur di pinggir sungai itu. Itulah rutin hariannya. Hati dan jiwanya diserahkan sepenuhnya kepada Allah. Tiada lain yang sedang difikirkannya ketika itu selain kebesaran Allah. Sememangnya beliau adalah seorang yang begitu warak.

Tiba-tiba matanya terpandang sebiji epal yang sedang terapung-apung di sungai itu. Terus sahaja perutnya terasa lapar. Dari tadi, beliau memang belum lagi mengalas perutnya dengan sebarang makanan. Lalu tanpa berfikir panjang, beliau pun mencapai buah itu dan terus memakannya.

Sedang enak menikmati kelazatan epal itu, tiba-tiba sesuatu terlintas di fikirannya, "Astaghfirullahalazim! Epal itu sudah pasti ada tuannya." Perasaan bersalah serta merta menerpanya. Beliau benar-benar mahu meminta maaf kepada pemiliknya.

Bingkas beliau bangun dan berjalan menyusuri sungai itu. Pada fikirannya, pasti pohon epal itu ada di bahagian hulu sungai itu. Tidak berapa lama kemudian, beliau terlihat sebatang pohon epal yang dahannya berjuntai ke dalam sungai. Abu Salih yakin, itulah pohon epal yang dimakannya itu. Beliau segera berjalan ke arah pohon epal itu. Rasa takut akan kemurkaan Allah dan kemarahan pemilik epal itu kerana telah mengambil sesuatu yang bukan haknya tanpa izin menyebabkan hatinya sangat berdebar-debar. Rasa takut dan bersalah itu membuatkan kakinya semakin laju melangkah sehingga beliau bertemu sebuah rumah di pinggir sungai itu.

"Mungkin ini rumah tuan punya epal ini," fikirnya. Tanpa pengetahuannya, rumah itu dimiliki oleh seorang wali Allah bernama Abdullah.

Beliau segera memberikan salam. Tidak lama kemudian, salamnya berjawab dan beliau dipersilakan masuk ke dalam rumah itu.

"Saya ingin meminta maaf kepada tuan kerana telah makan sebiji epal milik tuan yang hanyut di sungai tadi," Abu Salih terus memulakan bicara.

Abdullah terdiam seketika. Hatinya terdetik, 'Pemuda ini sangat baik.' Lalu Abdullah berkata, "Baiklah, aku akan memaafkanmu. Tapi dengan syarat, kamu perlu tinggal denganku selama 12 tahun dan membantu aku dengan kerja-kerjaku."

Tanpa berfikir panjang, Abu Salih terus bersetuju dengan syarat itu. Sebenarnya Abdullah hanya mahu menguji sejauh mana kejujurannya sewaktu meminta maaf tadi dan sedalam mana ketakwaannya kepada Allah.

Abu Salih pun tinggal di rumah itu selama 12 tahun. Sepanjang tempoh itu, beliau melakukan apa saja kerja yang disuruh oleh Abdullah tanpa sebarang rungutan dan keluhan. Dalam masa yang sama, beliau tetap meneruskan ibadahnya kepada Allah tanpa culas.

Setelah genap 12 tahun, sekali lagi Abu Salih menemui Abdullah. "Saya memohon maaf sekali lagi atas kesalahan saya memakan epal tuan tanpa izin dulu. Sekarang, saya telah menunaikan janji untuk tinggal di sini selama 12 tahun. Jadi saya minta izin untuk pulang ke kampung saya semula," katanya.

Abdullah terus menjawab, "Aku bersedia memaafkanmu dengan syarat, kamu mesti berkahwin dengan anakku yang cacat. Seluruh panca inderanya hilang. Matanya buta, telinganya pekak, mulutnya bisu dan anggota tubuhnya juga cacat. Jika kau menerima syaratku ini, aku akan memaafkanmu dan mengizinkan kamu pulang ke kampungmu."

Abu Salih terdiam. Syarat pertama untuk tinggal di situ selama 12 tahun telah pun dipenuhi. Tapi beliau masih belum dimaafkan. Sekarang, apakah beliau perlu berkahwin dengan anak Abdullah yang cacat itu semata-mata untuk menuntut sebuah kemaafan dari Abdullah? Kemaafan atas satu kesalahan kecil; makan sebiji epalnya tanpa izinnya? Mahal sungguh harga sebuah kemaafan bagi Abdullah.

Abu Salih serba salah. Hatinya berbisik, hanya kerana sebiji epal, beliau harus menerima hukuman sehingga begitu sekali. Berkahwin dengan seorang gadis yang cacat langsung tidak pernah terlintas di fikirannya. Sedih, hiba, kecewa, semuanya bercampur aduk dalam hatinya. Mengahwini seorang gadis cacat, apakah itu benar-benar takdir jodohnya? Aduh... Adakah ini musibah atau hikmah dari Allah?

Lama beliau terdiam. Abdullah masih menantikan jawapannya.

Akhirnya Abu Salih menjawab, "Jika itulah yang perlu saya lakukan demi menuntut kemaafan dari tuan, baiklah, saya bersetuju."

Abdullah tersenyum lebar. Beliau segera mengatur persiapan nikah antara anak gadisnya yang cacat itu dengan Abu Salih. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan syukur. Akhirnya tanggungjawab menjaga anak gadisnya itu akan diambil alih oleh seorang pemuda yang tawaduk. Beliau yakin Abu Salih tidak akan mengecewakannya.

Selepas pernikahan, Abu Salih menuju ke bilik pengantin untuk menemui isterinya. Hatinya berdebar-debar. Beliau tidak pasti bagaimanakah rupa fizikal isterinya itu kerana tidak pernah melihatnya. Malah beliau sendiri tidak pasti bagaimana beliau harus melayani isterinya kerana kecacatan isterinya itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditangani.

Sebaik sahaja masuk ke dalam bilik pengantin, beliau melihat seorang gadis yang sangat cantik sedang menantinya dengan senyuman. Inikah isterinya? Ternyata isterinya tidak buta. Abu Salih pun memberikan salam dan dijawab pula oleh isterinya itu. Sekali lagi Abu Salih terpinga-pinga. Bukankah beliau pekak dan bisu? Bagaimana pula beliau boleh mendengar dan menjawab salamku? Mengapa ayah mertuaku menipu aku? Subhanallah...mungkin inilah ganjaran yang Allah berikan atas kesabaranku selama 12 tahun ini.

Abu Salih segera menemui ayah mertuanya, Abdullah. Setelah memberi salam, beliau terus bertanya, "Wahai ayah, katamu dulu anakmu cacat anggota, pekak, buta dan bisu. Mengapakah ayah menipu saya?"

Abdullah tersenyum. "Isterimu itu memang cacat dari segi kehidupan dunianya. Matanya belum pernah melihat lelaki lain selain muhrimnya iaitu aku. Mulutnya tidak pernah berkata sesuatu yang dusta. Telinganya juga tidak pernah mendengar sesuatu yang nista. Anggota tubuhnya pula tidak pernah melakukan sesuatu dosa. Jadi engkaulah yang selayaknya untuk beliau."

Mendengar penjelasan Abdullah, barulah Abu Salih mampu menarik nafas lega. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan syukur kepada Allah. Ternyata harga sebuah kemaafan itu lebih dari sekadar sebutan di bibir.

Sejak itu, Abu Salih membina kasih cintanya dengan isterinya itu. Cinta di bawah naungan redha Allah.


~Dipetik daripada buku Wangian Syurga Dalam Cintamu~

2 comments:

  1. the best story ever. ternyata kesabaran membuahkan hasil. Tidak disia2kan kesabaran hambaNya selain diberikan ganjaran dari Maha Esa. fin~

    ReplyDelete