Assalamualaikum...
Gadis itu diibaratkan orang seperti bidadari yang turun ke dunia. Beliau selalu berselindung di dalam rumahnya sehingga tidak ramai yang pernah melihat wajahnya. Suaranya juga sukar menyapa telinga. Bahkan beliau juga sangat jarang berurusan dengan sesiapa.
Beliau benar-benar memelihara diri dan kehormatannya, seperti mutiara indah yang tersimpan jauh di dasar laut. Tetapi sesiapa sahaja yang pernah menemuinya mengatakan wajahnya cantik, suaranya lunak dan peribadinya terhormat.
Gadis itu pernah mendengar khabar mengenai seorang pemuda soleh yang setiap masanya dipenuhi dengan beribadah kepada Allah. Belum pernah beliau menemuinya, tetapi khabar itu telah menerbitkan rasa cinta dalam hatinya terhadap pemuda itu. Namun begitu, ada sedikit rasa cemburu tumbuh dalam hatinya. Setinggi manakah kesolehan pemuda itu? Benarkah pemuda itu memiliki akhlak yang sungguh terpuji? Seteguh manakah ketakwaannya kepada Tuhannya?
Lalu beliau memberanikan diri menulis surat untuk bertemu pemuda itu. Beliau tidak tahu apakah pemuda itu mahu menemuinya. Tanpa disangka, suratnya mendapat balasan. Pemuda itu bersetuju untuk bertemu dengan ditemani mahramnya. Hatinya berdebar tiba-tiba. Apakah benar tindakannya itu?
Apabila tiba hari yang ditetapkan, beliau dan seorang saudaranya menuju ke tempat yang dijanjikan. Tidak lama beliau menunggu, pemuda itu pun muncul.
Subhanallah!! Hanya kata-kata pujian kepada Allah sahaja yang mampu dituturkannya apabila beliau melihat wajah pemuda itu. Beliau tidak tahu setampan manakah Nabi Yusuf, tetapi pemuda itu sangat tampan di matanya. Serta merta beliau mengalihkan pandangannya, bimbang rasa cinta yang sudah terbit dalam hatinya sejak mendengar khabar mengenai pemuda itu bertukar menjadi keinginan yang mengundang maksiat apabila melihat wajah pemuda itu dengan lama.
"Maha Suci Allah yang telah menganugerahkanmu dengan wajah yang tampan," katanya.
Pemuda itu tersenyum sambil menundukkan wajah. "Alhamdulillah... tetapi semuanya akan menjadi santapan cacing dan ulat setelah jasadku dikuburkan," jawabnya.
Sejuk hati gadis itu mendengar jawapan tawadhuk dari pemuda itu. Lantas timbul keinginan untuk menguji pemuda soleh itu. "Tidakkah kau mahu merasakan kelembutan tanganku?" tanyanya.
Pemuda itu masih tersenyum dan menjawab, "Hanya Allah yang tahu hatiku. Tetapi aku tidak mahu kulitku dan kulitmu menjadi santapan api neraka hanya kerana bersentuhan tanpa akad yang sah."
Gadis itu mengalah. Benarlah khabar yang mengatakan pemuda itu seorang yang soleh dan begitu menjaga agamanya.
"Aku telah menyintaimu sejak aku mendengar khabar mengenaimu, sedangkan ketika itu aku tidak pernah bertemu denganmu. Sekarang, cinta itu semakin mekar dan aku tidak tahu adakah aku akan dapat menahanyya," gadis itu meluahkan perasaannya dengan jujur.
"Berhati-hatilah dengan urusan hati. Itulah tempat syaitan membisikkan syahwat yang hanya akan membinasakan diri. Aku tidak mahu menjadi musuhmu di akhirat nanti. Bertakwalah kepada Allah, kerana orang-orang yang bertakwa akan saling menjadi sahabat di syurga nanti," jawab pemuda itu.
Gadis itu tertunduk malu. Betapa beliau telah dihanyutkan oleh perasaan yang melalaikan terhadap pemuda itu.
Sejak pertemuan itu, gadis itu sentiasa merindui pemuda itu. Cintanya juga semakin bertambah. Namun rasa rindu dan cintanya itu diadukan hanya kepada Allah sehingga beliau menjadi salah seorang ahli ibadah.
Akhirnya suatu hari, datang lamaran dari pemuda soleh yang dicintainya itu. Hati si gadis sangat gembira tetapi beliau terfikir sesuatu, "Mengapa kau tidak terus melamarku setelah pertemuan hari itu?"
"Sebenarnya aku sudah jatuh cinta terhadapmu sejak itu. Tetapi aku mahu memastikan cintaku itu bukan kerana nafsu. Oleh kerana itu, aku mengambil masa bagi membersihkan hatiku dan melamarmu setelah aku benar-benar yakin, cintaku terhadapmu adalah kerana Allah, bukan kerana tergoda denganmu," jawab pemuda itu.
Kali ini gadis itu pula tersenyum. Itulah jawapan yang dimahukannya. Mereka pun bernikah dan membina cinta dengan harapan cinta itu dapat menjadi titi ke syurga nanti.
"Wanita-wanita yang keji diperuntukkan untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji diperuntukkan untuk wanita yang keji pula, dan wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi waita yang baik pula." (An Nur: 26)
~Dipetik daripada buku Wangian Syurga Dalam Cintamu~